Wednesday, November 14, 2007

~~Dosa Boleh Halang Cahaya Ilmu****

Banyak melakukan dosa membuatkan hati seseorang itu rosak
kerana bercampur antara baik dan buruk.
Maka jadilah hati seperti yang disabdakan oleh
Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

"(Hati yang) tidak lagi menganggap baik perkara
yang baik dan tidak menganggap buruk perkara yang buruk,
melainkan apa yang disukai oleh hawa nafsunya".

Orang yang banyak melakukan dosa semakin renggang
hubungannya dengan Allah dan orang mukmin lain.
Ini kerana apabila seseorang itu patuh kepada
perintah Allah, ia dekat kepadaNya.

Orang yang sentiasa melakukan dosa selalu
memandang perbuatan dosa itu sebagai perkara kecil.
Dalam hal ini, Ibnu Masud berkata:

"Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat
dosanya seperti sebuah bukit yang dibimbangi
akan menimpanya. Manakala, seorang yang selalu
melakukan dosa akan memandang dosa itu seperti
seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya".

Dosa yang dilakukan itu akan membawa kehinaan,
manakala ketaatan pula dapat melahirkan kemuliaan
kepada pelakunya. Dalam hal ini Allah berfirman yang maksudnya:

"Sesiapa inginkan kemuliaan, maka sesungguhnya
segala kemuliaan itu kepunyaan Allah jua".

Orang yang melakukan dosa berasa sempit dadanya,
manakala mereka yang taat lapang dadanya.
Allah berfirman yang bermaksud:

"Maka sesiapa yang Allah hendak beri hidayat
nescaya Allah memberi kelapangan dadanya untuk
menerima (ajaran) Islam. Sesiapa yang Allah
hendak menyesatkan nescaya Allah sempitkan
dadanya dan dalam kesukaran seolah-olah ia
memanjat langit (kerana tidak cukup oksigen)".

Dosa boleh menggelapkan hati sebagaimana amalan
kebajikan itu boleh menyinarinya.

Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan
itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki,
kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.
Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa,
menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki
dan makhluk lain mengutuknya".

Dosa boleh menghalang seseorang itu daripada mendapat
cahaya ilmu. Satu ketika, Imam Malik terpegun melihat
Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana kepandaian
dan kecerdikannya, lantas beliau berkata:

"Sesungguhnya aku melihat Allah mencampakkan ke dalam
hati kamu cahaya, maka jangan kamu padamkan cahaya itu
dengan kegelapan maksiat".

Dosa boleh menyebabkan seseorang itu malas untuk membuat
ketaatan. Seseorang pernah berkata kepada Ibnu Masud:
"Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk beribadat)".
Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan kamu
(daripada ibadat di waktu malam)".

Oleh yang demikian, hampirilah kebajikan yang
akan memberi cahaya kepada hati dan jauhilah
kejahatan yang boleh menggelapkan hati seterusnya
menghalang cahaya ilmu.

(Dipetik dari buku Bimbingan Semasa oleh
Mohd Fauzi Mustaffa Al-Besuty.)
__._,_.___

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...